Tuesday 31 May 2011

KARNIVAL SUKAN PALAPES-LAUT KE-9 2011

Suasana berkobar-kobar untuk bertanding
    Bertarikh 28 hingga 29 Mei 2011 baru-baru ini, berlangsunglah Karnival Sukan PALAPES-Laut kali ke-9 bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Karnival ini disertai buat pertama kalinya oleh PALAPES-Laut Akademi Laut Malaysia semenjak penubuhannya secara rasmi pada 1 Oktober 2010. Selain ALAM, karnival ini turut disertai oleh kontijen daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan KD SRI KLANG (KDSK). Acara-acara yang dipertandingkan adalah acara balapan, bola sepak, bola jaring, bola tampar, hoki geladak, futsal, dan renang. Kontijen ALAM bertanding hanya dalam acara balapan, bola sepak, bola tampar, futsal dan renang.

    Karnival ini dimulakan dengan ketibaan setiap kontijen pada jam 0800H dan pengurusan pendaftaran dan penyertaan dilakukan oleh wakil bagi setiap kontijen. Acara pertama yang dipertandingkan adalah acara 4 x 800m kategori lelaki. Alhamdulillah, acara pertama ini memberi kontijen ALAM pembakar semangat untuk meneruskan karnival ini dengan lebih bersemangat kerana ALAM telah merangkul emas untuk acara ini melalui PK Abdul Hafiz Abdollah, PK Tiruvarasu, PK Hambigaibalan dan PK Tan Han Kwan. TAHNIAH!!! Sejurus itu, acara seterusnya adalah larian 1500m. ALAM sekali lagi berjaya mendapatkan pingat namun bukan emas, tetapi pingat perak oleh PK Muhammad Norshaizuan. Pingat emas dan gangsa masing-masing dirangkul oleh UiTM.

Skuad balapan PALAPES-Laut ALAM
Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM bersemangat memberi sokongan
   Acara balapan berakhir kira-kira jam 1000H dan karnival berehat untuk setengah jam. Pada jam 1030H, sukan bola sepak dimulakan. Permainan pertama menyaksikan kontijen KDSK menentang UiTM. KDSK berjaya menewaskan UiTM lalu berjaya ke pusingan separuh akhir kerana mengikut sistem kalah mati. Permainan kedua menyaksikan pula kontijen ALAM berentap dengan UPM. ALAM berjaya melayakkan diri terus ke pusingan akhir dengan berjaya menewaskan UPM, 2 berbalas 0. Bagi menentukan lawan ALAM di pusingan akhir, KDSK menentang UM dan tanpa sebarang masalah, KDSK melayakkan diri ke pusingan akhir kerana berjaya menewaskan UM, 4 - 0. Sedang pasukan ALAM dan KDSK membuat persiapan untuk berentap di pusingan akhir, tanpa diduga, cuaca berubah daripada pagi yang tenang kepada hujan yang sangat lebat dengan kilat yang menyambar dan guruh yang berdentum. Permainan akhir terpaksa ditunda selama 2 jam sebelum memulakan sepak mula pada jam lebih kurang 1330H. Permainan berakhir  dengan keputusan 2 - 0 memihak kepada KDSK sekali gus merangkul emas dan perak buat kontijen ALAM. Walaupuntidak berjaya mendapatkan emas, namun melalui bola sepak ini, hubungan kontijen ALAM dengan kontijen-kontijen lain lebih erat melalui sokongan yang diberikan antara satu sama lain dan melalui semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh setiap peserta.

Skuad bola sepak PALAPES-Laut ALAM
Pasukan bola sepak membuat persiapan sebelum berentap
    Sekali lagi, selesai sahaja acara bola sepak, karnival berehat untuk satu jam bagi membolehkan semua peserta mengambil makan tengahari dan bersolat. Acara seterusnya disambung dengan sukan bola tampar yang bermula kira - kira jam 1500H. Untuk kategori lelaki, permainan pertama menyaksikan ALAM berentap dengan UiTM. Rezeki tidak menyebelahi pasukan ALAM kerana tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas tewas dengan UiTM 25-21 dan 25-23. Sejurus saja tewas, kontijen ALAM pulang ke tempat penginapan bagi merehatkan diri setelah hampir separuh hari bersukan. Kontijen ALAM kembali ke UiTM Shah Alam pada jam 2000H bagi bertanding dalam acara Futsal.

Skuad futsal PALAPES-Laut ALAM sedang membuat persiapan
    2 perlawanan berlangsung secara serentak iaitu ALAM vs KDSK dan UiTM vs UM. UPM mendapat laluan terus ke separuh akhir menanti sama ada pasukan ALAM atau KDSK. Bagi perlawanan UiTM vs UM, UiTM berjaya melayakkan diri terus ke akhir. Dan bagi perlawanan ALAM vs KDSK, persaingan yang amat sengit sehingga perlawanan dideret sehingga ke sudden death penalty. Pada awal perlawanan, kedua-dua pasukan ALAM dan KDSK saling bertukar serangan dan beberapa cubaan berbahaya saling bertukar-tukar sehinggalah minit ke 18, 2 minit sebelum perrlawanan tamat, KDSK mendapat peluang keemasan melalui sepakan penalti yang dihadiahkan kerana bola terkena tangan pemain ALAM. Ternyata benteng gol ALAM terus kukuh selepas penjaga gol ALAM, PK Syazwan Shamsuddin berjaya menyelamatkan sepakan deras dari KDSK. Permainan tamat tanpa sebarang jaringan dan diteruskan dengan sepakan penalti. Sekali lagi, kedua-dua pasukan tidak kenal erti putus asa selepas seri 3-3 lalu di deret kepada sudden death penalty. Melalui balingan syiling, pasukan ALAM akan menyepak bola dan KDSK menjaga gol. Detik berdebar akhirnya berakhir setelah sepakan dari ALAM berjaya diselamatkan penjaga gol KDSK membuatkan KDSK layak ke pusingan seterusnya. Sekali lagi, ALAM tidak berjaya mendapatkan pingat dalam acara ini selepas kehampaan dalam bola tampar. Walau bagaimanapun, berbekalkan 1 emas dan 2 perak untuk hari pertama sudah memberi kepuasan kepada kontijen ALAM untuk penyertaannya buat kali pertama.

Bendera Kontijen PALAPES-Laut ALAM
    29 Mei 2011, hari ke-2 Karnival Sukan PALAPES-Laut di UiTM Shah Alam dimulakan dengan ketibaan kontijen di kompleks renang UiTM Shah Alam dan pengurusan pendaftaran dan penyertaan untuk acara renang dilakukan. Tidak lupa santapan pagi yang disediakan oleh pihak penganjur sebelum acara dimulakan. Untuk hari yang ke - 2 ini, hanya sukan renang dipertandingkan. Sebanyak 5 acara dalam sukan ini dipertandingkan iaitu 4 x 50m gaya bebas (L) & (P), 50m individu gaya bebas (L), 50m individu kuak dada (P) dan acara khas iaitu selam tempur campuran. ALAM hanya bertanding dalam 4 x 50m gaya bebas (L) dang 50m individu gaya bebas (L). Acara pertama bermula kira-kira jam 0900H iaitu 4 x 50m gaya bebas (L). Sekali lagi, acara yang pertama jugalah menjadi rezeki buat kontijen ALAM kerana berjaya meraih emas yang ke - 2 melalui PK Irfan Abbasi, PK Mohamad Al Ash bin Khalid, PK Amirzaim Radzi dan PK Abdul Hafiz Abdollah dalam acara ini.

Perenang 4 x 50m (dari kiri, PK Amirzaim,PK Irfan, PK Al Ash, PK Hafiz)
   Seterusnya, acara yang ke - 2 ALAM bertanding iaitu 50m individu gaya bebas (L), melalui PK Abdul Hafiz Abdollah sekali lagi, ALAM hanya meraih gangsa. Seorang lagi perenang ALAM, PK Irfan mendapat tempat ke-5 daripada 8 orang peserta. Emas dan perak disandang oleh kontijen KDSK.

Kontijen PALAPES-Laut ALAM meraikan kejayaan dalam acara renang
    Sukan renang berakhir kira-kira jam 1030H dan karnival ini hampir sampai ke kemuncaknya apabila majlis penutup dimulakan pada jam 1100H. Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh Komandan PALAPES-Laut ALAM, Kdr (Kehormat) David Fredrick PSSTLDM sebagai tetamu kehormat. Antara pegawai-pegawai lain yang hadir adalah  Pegawai Staf KD SRI KLANG, Lt Kdr Nazer bin Abdullah TLDM, Ketua Jurulatih PALAPES-Laut ALAM, P/Lt Kdr Mohd Nazri bin Hakdin TLDM dan ramai lagi. Dalam upacara penutup ini, pingat-pingat dikalungkan kepada pemenang bagi setiap acara. Bagi kontijen ALAM, berjaya meraih 2 emas, 2 perak dan 1 gangsa. Selesai ucapan penutupan Karnival Sukan PALAPES-Laut kali ke 9 secara rasminya oleh Komandan PALAPES-Laut ALAM, Kdr (Kehormat) David Fredrick PSSTLDM, upacara penyerahan bendera penganjur dilaksanakan daripada wakil Kontijen UiTM kepada Kontijen UPM yang bakal menjadi tuan rumah Karnival Sukan PALAPES-Laut kali ke - 10 pada tahun 2012.

Kdr (Kehormat) David Fredrick PSSTLDM bersama-sama pegawai-pegawai lain yang turut hadir
   Akhir kata, melalui karnival seperti ini, hubungan sesama unit PALAPES-Laut dapat dieratkan melalui semangat kesukanan disamping dapat menyihatkan lagi tubuh badan yang sudah tentu akan membuahkan minda yang cerdas melalui sukan-sukan yang dipertandingkan. Selain itu, kami di ALAM mengucapkan jutaan terima kasih buat semua peserta kerana menyambut kami sebagai "adik" baru dalam keluarga PALAPES-Laut. Semoga bertemu lagi di tahun hadapan dengan semangat yang lebih membara dan hubungan kekeluargaan yang lebih intim. SEDIA BERKORBAN!!!

Terima kasih daripada kami PALAPES-Laut Akademi Laut Malaysia!!!

Thursday 19 May 2011

UPACARA PERASMIAN PENUBUHAN PALAPES-LAUT ALAM

Pemeriksaan perbarisan oleh YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar, Panglima Tentera Laut diiringi oleh Kdr (Kehormat) David Fredrick PSSTLDM, Komandan PALAPES-Laut ALAM

            Lawatan ulung Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar ke Akademi Laut Malaysia (ALAM) pada hari ini merupakan catatan sejarah apabila Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut atau lebih dikenali sebagai PALAPES-Laut telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Ogos 2010 dan ini merupakan penubuhan yang pertama kalinya diwujudkan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

ALAM merupakan anak syarikat milik MISC Berhad yang merupakan Institusi Latihan Maritim dan diberi taraf IPTS. ALAM menawarkan program diploma dalam jurusan Kejuruteraan Marin dan Sains Nautika. Tempoh pengajian bagi kedua-dua jurusan tersebut adalah seiring dengan program PALAPES – Laut iaitu selama tiga tahun. Sejak penubuhannya, ALAM telah banyak melahirkan para profesional berkelayakan bagi keperluan kapal dagang kepunyaan MISC Berhad dan agensi perkapalan swasta yang lain.

ALAM selaku peneraju utama institusi latihan maritim di Malaysia dan bertaraf antarabangsa telah dilengkapi dengan kemudahan latihan maritim bertaraf dunia. Penubuhan PALAPES-Laut ALAM dilihat sebagai satu perkongsian strategik di antara TLDM dan MISC Berhad dalam memanfaatkan prasarana yang sedia ada. Perkongsian ini secara langsung menjadi pendokong dalam merealisasikan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH seperti yang termaktub di dalam Dasar Pertahanan Negara. Melalui program PALAPES-Laut ALAM, ianya bakal menjana para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) yang mempunyai ilmu kemahiran kelautan yang tinggi dan terlatih. Perkongsian ini juga, sudah pasti akan melahirkan sumber modal insan yang versatil seiring keperluan pertahanan maritim negara di samping memberi sumbangan yang berkesan kepada TLDM dan kepada MISC Berhad sendiri.

Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM Pengambilan 01/2010 
Sesungguhnya PALAPES-Laut ini diwujudkan berdasarkan kesedaran dan kepercayaan bahawa para mahasiswa yang berkelayakan boleh dijana menjadi sumber utama modal insan yang bukan sahaja berkelulusan akademik tetapi boleh menyumbang kepada mana-mana organisasi sebagai seorang anggota yang berdedikasi, patriotik dan multi – skilled. Penubuhan PALAPES – Laut juga memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan selepas tamat pengajian sebagai pegawai di dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM.

Menyedari manfaat yang bakal diperolehi oleh kedua-dua pihak, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MISC Berhad pada ketika itu, Encik Amir Hamzah Azizan telah memajukan permohonan kepada TLDM untuk menubuhkan unit PALAPES-Laut di kampus ALAM, Melaka. Kesediaan ALAM memberi pendedahan latihan ketenteraan kepada para penuntutnya amat dihargai kerana misi ini dilaksanakan atas dasar komitmen dan tanggungjawab kepada keselamatan dan keamanan negara.

PALAPES-Laut ALAM telah beroperasi sepenuhnya dengan kekuatan seramai 9 staf tetap Kini, pengisian staf tetap TLDM sebagai pentadbir telah dilaksanakan sewajarnya dan TLDM dan 35 Pegawai Kadet dari pengambilan pertama PALAPES-Laut ALAM. Seterusnya, pengambilan PALAPES – Laut ALAM ini akan diteruskan pada setiap tahun dengan sasaran seramai 35 hingga 50 pegawai kadet bagi setiap kali pengambilan. Oleh yang demikian, kita bakal mempunyai seramai 105 hingga 150 pegawai kadet PALAPES-Laut ALAM menjelang tahun ketiga penubuhannya iaitu pada tahun 2012. Selain itu, Encik David Fredrick iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ALAM telah dikurniakan tauliah Komander (Kehormat) PSSTLDM berkuatkuasa 1 Okt 10 dan dilantik sebagai Komandan PALAPES-Laut ALAM yang pertama. TLDM turut menyahut seruan Kementerian Pertahanan Malaysia agar menggalakkan golongan bukan bumiputera menyertai pasukan beruniform.

Program PALAPES-Laut dilaksanakan selaras Skim Latihan Pegawai Kadet TLDM. Keseluruhan latihan dibahagikan kepada enam fasa dan tempoh latihan ialah selama tiga tahun. Para pegawai kadet PALAPES-Laut akan menjalani latihan teori dan praktikal di pusat latihan pegawai TLDM iaitu KD SULTAN IDRIS 1 di Pangkalan TLDM Lumut dan di kapal-kapal TLDM termasuklah di ALAM sendiri.