Tuesday 31 July 2012

UCAPAN TAKZIAH


Labuan, 30 Julai - Ucapan Takziah kepada keluarga salah seorang anggota PALAPES-Laut ALAM pengambilan 1/2010 iaitu Allahyarham Pegawai Kadet Kanan Muhammad Nazrin bin Khamsani yang kehilangan nyawa dalam kejadian letupan dan kebakaran MT BUNGA ALPINIA di Jeti Petronas Methanol Labuan pada 26 Julai 2012 (Khamis) yang lepas. Al-Fatihah....  

KURSUS PALAPES-LAUT FASA 3

Lumut, 20 Julai - Kursus PALAPES-Laut Fasa 3 merupakan kemuncak latihan Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM Tahun 1. Pada kali ini, kursus tersebut telah dijalankan dengan jayanya di KD SULTAN IDRIS 1, Pangkalan TLDM Lumut, Perak selama 12 hari mulai 8 - 20 Julai 2012 yang lepas.

KD SULTAN IDRIS 1, Pangkalan TLDM Lumut, Perak
Seramai 30 orang Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM pengambilan 2/2011 telah berjaya menjalani kursus ini sehingga selesai. 

Antara objektif kursus adalah:

(a) PK memahami aspek kerjaya dalam TLDM

(b) PK dapat membentuk siasah diri, sikap, displin dan mengenali budaya kerja dalam TLDM

(c) Menerapkan semangat dan nilai ketenteraan dalam diri PK

Pelbagai bentuk latihan telah dilaksanakan sepanjang tempoh kursus seperti Kelas Teori, Sukan, MKMA, Kawad Kaki, Lawatan ke WASPADA dan TANGKAS serta pelayaran bersama KD SRI INDERASAKTI.

Pelayaran bersama KD SRI INDERASAKTI
Kelas Teori
Lawatan ke Kapal TLDM
Latihan Larian Pangkalan
Semua PK PALAPES-Laut ALAM telah menunjukkan semangat dan sikap yang positif sepanjang kursus. Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS 1 turut memberi pujian ke atas keseluruhan PK semasa upacara penutup kursus pada 20 Julai 2012. Semoga prestasi seperti ini dapat dikekal dan dipertingkatkan demi menjaga nama baik PALAPES-Laut ALAM khasnya dan Akademi Laut Malaysia amnya.

Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM 2/2011 akan menjalani latihan fasa laut di setiap kapal latihan yang ditetapkan untuk tempoh perkhidmatan laut selama setahun sebelum pulang semula ke ALAM untuk meneruskan fasa latihan seterusnya.

HARI TERBUKA PUSAT HIDROGRAFI NASIONAL 2012

Pelabuhan Klang, 30 Jun - PALAPES-Laut ALAM telah menerima jemputan untuk menghadiri sambutan Hari Terbuka Pusat Hidrografi Nasional 2012 sempena Hari Hidrografi Sedunia bertempat di Pangkalan TLDM Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor pada 30 Jun - 1 Julai 2012.

Matlamat utama hari terbuka ini adalah untuk memperkenalkan bidang hidrografi dan peranan PHN kepada masyarakat umum. Pelbagai program telah dirancang bagi menarik minat para pengunjung seperti aktiviti pameran dari beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung dalam bidang hidrografi di Malaysia.

Para pengunjung awam turut diberi peluang melawat KD PERANTAU dan KD KELANTAN di jeti PHN serta melihat dengan lebih dekat pesawat udara TLDM jenis Super Lynx. Beberapa siri pertandingan seperti futsal dan acara sukaneka turut dibuka kepada golongan dewasa dan juga kanak-kanak.

Pasukan PALAPES-Laut ALAM telah menyertai pertandingan futsal terbuka PHN 2012 dan berjaya hingga ke peringkat separuh akhir. Tahniah diucapkan.


Pasukan PALAPES-Laut ALAM berentap dalam perlawanan futsal


LATIHAN PENEMBAKAN SENJATA KECIL

Masjid Tanah, 23 Jun - Latihan Penembakan Senjata Kecil PALAPES-Laut ALAM pengambilan 2/2011 telah dijalankan pada 23 Jun 2012 (Sabtu) di Lapang Sasar 100 Meter Kem Terendak. Seramai 35 orang Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM terlibat dalam siri latihan kali ini melibatkan penggunaan senjata kecil jenis Glock 17.

PK PALAPES-Laut ALAM sedang menjalani latihan penembakan
Objektif latihan adalah:

(a) Memperkenal dan membiasakan Pegawai Kadet dengan jenis-jenis senjata kecil, penggunaan dan langkah-langkah keselamatan pengendalian senjata kecil.

(b) Membina keyakinan diri dan menanam sikap bertanggungjawab disamping mengukuhkan displin Pegawai Kadet semasa mengendalikan senjata kecil.

Ketua Jurulatih PALAPES-Laut ALAM memberikan taklimat selesai latihan
  Keseluruhan latihan telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak termasuk dari KD SRI KLANG dan Kem Terendak yang telah memberi bantuan menjayakan latihan ini.

Semua Jurulatih dan PK PALAPES-Laut ALAM 2/2011 bergambar selesai latihan