Sunday 21 April 2013

Latihan Penembakan PALAPES-LAUT ALAM


Masjid Tanah– Latihan Penembakan PALAPES-Laut ALAM Pengambilan 1/2010 dan PALAPES-Laut ALAM Pengambilan 3/2013 telah dijalankan di Lapang Sasar 400 Meter, Kem Terendak. Seramai 17 orang Pegawai Kadet Kanan PALAPES-Laut ALAM Pengambilan 1/2010 dan 28 orang Pegawai Kadet PALAPES-Laut ALAM Pengambilan 3/2012 terlibat dalam siri latihan ini. Siri latihan penembakan pada kali ini melibatkan senjata M16A3 dan senjata M4 Colt 4.

Lapang Sasar 400 meter, Kem Terendak


Objektif latihan ini adalah:
(a)memperkenalkan jenis-jenis senjata , penggunaan dan langkah-langkah keselamatan pengendalian senjata
(b)membina keyakinan dan menanam sikap bertanggungjawab
(c)membiasakan pegawai-pegawai kadet menggunakan senjata
(d)mendisiplinkan pegawai-pegawai kadet dalam pengendalian senjata

Siri Latihan ini berlangsung selama dua hari dari 30 Mac 2013(Sabtu) hingga 31 Mac 2013(Ahad). Tidak ketinggalan juga, Pegawai kadet PALAPES LAUT-UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA(UPM) turut terlibat dengan latihan penembakan senjata ini. Komunikasi antara Pegawai Kadet dari kedua-dua kampus ini mampu diwujudkan dan dibuktikan melalui interaksi dan suai kenal antara mereka.

 
latihan penembakan






ANGGOTA PALAPES LAUT ALAM



Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat bagi menjayakan siri Latihan Penembakan ini.








SUKAN ANTARA DIVISION

PALAPES LAUT ALAM telah menganjurkan Sukan Inter-Divisyen kali ke-3 untuk para anggotanya yang berlangsung selama dua hari pada 15 Mac 2013 dan 16 Mac 2013.Sukan Inter-Divisyen pada kali ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi siri latihan PALAPES LAUT ALAM malah untuk mempersiapkan setiap anggotanya untuk menyertai karnival sukan lima penjuru yang bakal diadakan di Universiti Malaya pada 13 dan 14 April 2013. Setiap anggota PALAPES LAUT ALAM telah dibahagikan kepada dua divisyen iaitu Thana dan Zain.Setiap anggota mengambil bahagian dan mewakili divisyen masing-masing. Antara acara yang dipertandingkan ialah marathon, bola sepak, bola jaring, badminton, sepak takraw, hoki geladak, futsal dan bola tampar.


Acara pertama yang dianjurkan adalah perlawanan bola sepak dan perlawanan bola jaring. Keputusan akhir untuk acara pertama, perlawanan bola sepak telah dimenangi oleh divisyen Zain manakala perlawanan bola jaring dimenangi oleh divisyen Thana.



Pada malamnya pula, diteruskan dengan acara badminton dan perlawanan sepak takraw. Terdapat dua kategori badminton yang dipertandingkan iaitu acara beregu campuran dan acara beregu lelaki. Keputusan akhir bagi pertandingan badminton, keseluruhannya dimenangi oleh divisyen  Thana manakala perlawanan sepak takraw dimenangi oleh divisyen Zain.

Keesokan harinya, dimulakan dengan acara larian marathon. Peserta lelaki dikehendaki menggunakan laluan trek sejauh 5.0 km manakala peserta perempuan dikehendaki menggunakan laluan trek sejauh 4.5 km. Acara ini keseluruhannya telah dimenangi oleh divisyen Zain.

Kemudiannya, diteruskan dengan acara bola tampar. Keputusan akhir bagi acara ini berpihak kepada divisyen Thana. Seterusnya, perlawanan hoki geladak. Perlawanan ini telah dimenangi oleh divisyen Zain.
Acara terakhir untuk Sukan Inter Division ini adalah futsal.. Acara ini merupakan acara kemuncak dan disemarakkan lagi dengan kehadiran  Yang Mulia Raja Mazlan bin Raja Shahdan, selaku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar ALAM bagi mewakili Tuan Komandan, Kdr(K) David Fredrick. Keputusan akhir, Thana  telah memenangi acara futsal dengan kemenangan yang ditentukan dengan sepakan penalti setelah seri tanpa jaringan. 

Karnival diteruskan dengan Majlis Penutupan  yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, seterusnya diikuti dengan lagu Samudera Raya. Selesai itu, majlis diteruskan pula dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan diakhiri dengan sesi bergambar. Keputusan penuh bagi Sukan Inter-Divisyen pada kali ini ialah seri dengan markah 4 – 4.

Jelaslah, aktiviti yang dianjurkan untuk Sukan Inter Division ini mampu merapatkan silaturahim antara anggota PALAPES LAUT ALAM selain membantu pasukan ALAM mempersiapkan diri bagi menempuh Karnival Sukan Lima Penjuru yang akan datang.

Saturday 20 April 2013

WELCOME BACK!^_^!



Setelah menjalani latihan perkapalan ataupun dikenali sebagai ‘On Job Training’(OJT) selama 365 hari, seramai 17 orang Pegawai Kadet PALAPES-LAUT ALAM Pengambilan 1/2010 telah melapor diri di Akademi Laut Malaysia pada 5 Januari 2013 bagi meneruskan pengajian mereka untuk Semester 5 dan Semester 6 serta menjalani siri latihan PALAPES-LAUT ALAM yang seterusnya (Fasa 4 – 6). Sepanjang menjalani OJT mereka banyak didedahkan dengan realiti dan kehidupan sebenar sebagai seorang pelaut dan juga mempraktikkan segala ilmu yang ditimba semasa tahun pertama di ALAM. 

 Pada 20 Februari 2013, kesemua Pegawai Kadet PALAPES LAUT ALAM Pengambilan 1/2010 ini telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Kadet Kanan.


Angkat Sumpah Taat Setia PALAPES-LAUT ALAM


Upacara Angkat Sumpah PALAPES-LAUT ALAM Pengambilan 3/2012 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 21 Disember 2012 bertempat di Main Lecture Theatre, Akademi Laut Malaysia dengan disaksikan oleh Komandan PALAPES-LAUT ALAM, Kdr(Kehormat) David Fredrick dan semua timbalan pengurusan tertinggi ALAM.

Seramai 28 orang Pegawai Kadet PALAPES-LAUT ALAM Pengambilan 3/2012 telah melafazkan Ikrar Angkat Sumpah Taat Setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Upacara Angkat Sumpah diteruskan dengan Penyerahan Skrol yang mengandungi Senarai Nama Pegawai Kadet PALAPES-LAUT ALAM Pengambilan 3/2012 oleh Pegawai Kadet Imtiaz Yatemee bin Rushdi selaku wakil Pegawai Kadet Pengambilan 3/2012 kepada Komandan PALAPES-LAUT ALAM, Kdr(Kehormat)David Fredrick dan kemudiannya Penyerahan Skrol tersebut daripada Komandan PALAPES-LAUT ALAM kepada Ketua Jurulatih PALAPES-LAUT ALAM,Leftenan Mohd Farez bin Mohd Isa.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan upacara ini dan selamat berjuang bagi semua PK Pngambilan 3/2012. 

SEDIA BERKORBAN!!!