PENGENALAN

PASUKAN LATIHAN PEGAWAI SIMPANAN (PALAPES-LAUT)

     PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau ROTU (Reserve Officer Training Unit). Penubuhan program PALAPES di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah diluluskan oleh Jawatankuasa Ketua Turus Angkatan Tentera (JKTAT) dalam mesyuaratnya yang ke-155 pada 11 Dis 1978. TLDM telah memulakan program PALAPES – Laut pertamanya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 1986.

     Objektif penubuhan program ini adalah bagi mendapatkan khidmat pegawai PSSTLDM lepasan PALAPES-Laut sama ada di dalam Pasukan Tetap atau Pasukan Simpanan.  Kehadiran pegawai muda di dalam bidang kejuruteraan dan teknologi ini akan membantu serta mempertingkatkan kemampuan bahagian kejuruteraaan dan teknologi TLDM sesuai dengan pemodenannya. Selain daripada itu, penubuhan PALAPES-Laut ini akan memberikan manfaat seperti berikut:

a.   Meninggikan tahap disiplin, meningkatkan keupayaan soft skills dan sikap bertanggungjawab mahasiswa agar lahir satu kumpulan pemimpin dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang berketrampilan.

b.   Mengadakan satu pasukan simpanan yang terdiri dari pegawai muda terlatih bagi TLDM untuk dikerah tenaga dalam keadaan darurat.

c.   Mempamer dan memperkaya budaya maritim di kalangan masyarakat setempat, sekaligus menaikkan imej TLDM.


KONSEP DAN JENIS LATIHAN


(a) Latihan Asas


     PALAPES-Laut perlu menjalani latihan asas untuk tempoh 3 tahun.  Tahun pertama mereka akan diberi pangkat sebagai Pegawai Kadet dan Pegawai Kadet Kanan pada tahun ke 2 dan 3.  Mereka juga akan menjalani latihan dalam 6 fasa sama seperti Bakal Pegawai PSSTLDM.  Perbezaannya, mereka akan menyelesaikan semua fasa dalam tempoh 2 tahun sebelum layak ditauliahkanRingkasan Latihan Asas PALAPES-Laut ALAM adalah seperti berikut:
  • Tahun 1 - Latihan PALAPES-Laut Fasa 1 dan 2 di ALAM manakala Fasa 3 di KDSI 1
  • Tahun 2 - Latihan di Laut
  • Tahun 3 - Latihan PALAPES-Laut Fasa 4, 5 di ALAM manakala Fasa 6 di KDSI 1


(b) Latihan Unit


  • Perbarisan Tempatan - Bermaksud latihan mingguan yang dilaksanakan di unit PSSTLDM di dalam jangka masa tidak kurang daripada 2 jam dan tidak melebihi 12 jam sehari.  
  • Latihan Berterusan - Bermaksud latihan, pengajaran atau latihan sambil kerja secara berterusan di dalam jangkamasa tidak kurang daripada 72 jam.
  • Kem Tahunan - Bermaksud latihan yang dikendalikan secara berterusan bagi satu tempoh tidak melebihi 15 hari. 


INSENTIF DAN ELAUN


Mengikut peraturan yang sedang berkuatkuasa, elaun yang layak dibayar kepada pegawai dan askar lasykar Simpanan Sukarela TLDM adalah seperti berikut:

  • Elaun Kehadiran Perbarisan Tempatan.
  • Elaun Latihan Berterusan.
  • Elaun menghadiri Kem Tahunan.
  • Saguhati Tahunan (Annual Bounty).
  • Elaun Pakaian Seragam dan Elaun Senggaraan Pakaian (pegawai sahaja).
  • Bayaran Insentif Sabah dan Sarawak (BISS).
  • Bayaran Insentif Semenanjung (BIS).
  • Elaun Tamat Perkhidmatan Mobilisasi (ETPM).
  • Elaun Pengangkutan. 


SYARAT DAN KELAYAKAN KEMASUKAN

  • Penuntut dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) yang telah menubuhkan unit PALAPES-Laut.
  • Warganegara Malaysia.
  • Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak lebih daripada 45 tahun.
  • Mengikuti kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA/IPTS yang mempunyai unit PALAPES. Mendapat kepujian dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di dalam peperiksaan SPM/SPMV/SKM.
  • Mempunyai taraf kesihatan yang baik.
  • Lulus temuduga pemilihan.