Sunday 21 April 2013

SUKAN ANTARA DIVISION

PALAPES LAUT ALAM telah menganjurkan Sukan Inter-Divisyen kali ke-3 untuk para anggotanya yang berlangsung selama dua hari pada 15 Mac 2013 dan 16 Mac 2013.Sukan Inter-Divisyen pada kali ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi siri latihan PALAPES LAUT ALAM malah untuk mempersiapkan setiap anggotanya untuk menyertai karnival sukan lima penjuru yang bakal diadakan di Universiti Malaya pada 13 dan 14 April 2013. Setiap anggota PALAPES LAUT ALAM telah dibahagikan kepada dua divisyen iaitu Thana dan Zain.Setiap anggota mengambil bahagian dan mewakili divisyen masing-masing. Antara acara yang dipertandingkan ialah marathon, bola sepak, bola jaring, badminton, sepak takraw, hoki geladak, futsal dan bola tampar.


Acara pertama yang dianjurkan adalah perlawanan bola sepak dan perlawanan bola jaring. Keputusan akhir untuk acara pertama, perlawanan bola sepak telah dimenangi oleh divisyen Zain manakala perlawanan bola jaring dimenangi oleh divisyen Thana.



Pada malamnya pula, diteruskan dengan acara badminton dan perlawanan sepak takraw. Terdapat dua kategori badminton yang dipertandingkan iaitu acara beregu campuran dan acara beregu lelaki. Keputusan akhir bagi pertandingan badminton, keseluruhannya dimenangi oleh divisyen  Thana manakala perlawanan sepak takraw dimenangi oleh divisyen Zain.

Keesokan harinya, dimulakan dengan acara larian marathon. Peserta lelaki dikehendaki menggunakan laluan trek sejauh 5.0 km manakala peserta perempuan dikehendaki menggunakan laluan trek sejauh 4.5 km. Acara ini keseluruhannya telah dimenangi oleh divisyen Zain.

Kemudiannya, diteruskan dengan acara bola tampar. Keputusan akhir bagi acara ini berpihak kepada divisyen Thana. Seterusnya, perlawanan hoki geladak. Perlawanan ini telah dimenangi oleh divisyen Zain.
Acara terakhir untuk Sukan Inter Division ini adalah futsal.. Acara ini merupakan acara kemuncak dan disemarakkan lagi dengan kehadiran  Yang Mulia Raja Mazlan bin Raja Shahdan, selaku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar ALAM bagi mewakili Tuan Komandan, Kdr(K) David Fredrick. Keputusan akhir, Thana  telah memenangi acara futsal dengan kemenangan yang ditentukan dengan sepakan penalti setelah seri tanpa jaringan. 

Karnival diteruskan dengan Majlis Penutupan  yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, seterusnya diikuti dengan lagu Samudera Raya. Selesai itu, majlis diteruskan pula dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan diakhiri dengan sesi bergambar. Keputusan penuh bagi Sukan Inter-Divisyen pada kali ini ialah seri dengan markah 4 – 4.

Jelaslah, aktiviti yang dianjurkan untuk Sukan Inter Division ini mampu merapatkan silaturahim antara anggota PALAPES LAUT ALAM selain membantu pasukan ALAM mempersiapkan diri bagi menempuh Karnival Sukan Lima Penjuru yang akan datang.

No comments:

Post a Comment